Kita tentu suka diberikan kebebasan kerana kebebasan melambangkan kemerdekaan. Siapa tidak mahu merdeka? Merdeka ertinya lawan kepada hamba. Menjadi hamba adalah satu kehinaan sedang merdeka adalah satu kemuliaan. Sebab itu, negara-negara yang terjajah berjuang dengan darah, keringat dan air mata untuk merdeka. Mendapat kemerdekaan adalah dambaan bangsa dan negara yang terjajah. Itu kerana merdeka adalah menifestasi maruah dan kemuliaan.
Maka, orang mahu dirinya bebas. Tapi sejauh mana bebas itu? Apakah bebas semahu-mahunya? Apakah kalau seseorang itu bebas semahunya, orang lain juga bebas? Jika satu orang bebas mengatakan apa sahaja hatta berbohong, fitnah dan adu domba, bagaimana pula kebebasan orang lain yang menjadi mangsanya? Jika orang lain yang jadi mangsanya bertindak balas melakukan hal yang sama atas nama kebebasan mengucapkan kata fitmah, adu domba dan bohong, itulah jalan kebebasan sejati yang kita ingin tegakkan dalam kehidupan manusia?
Kita fikir sejenak. Bukan sahaja bebas bercakap. Kita masukkan juga bebas bertindak. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja. Bebas merogol , membunuh dan melakukan apa sahaja sekehendak hatinya. Jika begitu berikan juga kebebasan kepada orang lain melakukan hal yang sama ke atasnya.
Apa akan jadi kepada kehidupan jika sedemikian bebasnya orang?
Leburkan sahaja peraturan. Agama juga tidak perli sebab semua agama sekat kebebasan penganutnya.Negara yang dibina tidak perlu perlembagaan sebab dalam perlembagaan ada sekatan kebebasan.
Kerana itu kita perlu sedar bahawa yang nama kebebasan itu ada batasannya.
Jika kita mengadu tidak bebas disebabkan sekatan orang atas kita, kita perlu muhasabah, apa sebab kita disekat. Barangkali orang yang sekat kita itu juga mahukan kebebasan. Barangkali kita terlebih bebas hingga merampas kebebasan orang lain itu.
Mengadili kebebasan ini, perlu ada juru tengah yang mengadili. Siapa yang terhalang kebebasannya dan siapa yang hilang kebebasannya? Namun, juru tengah pun perlu dipantau. Apakah dia pula salah guna kebebasannya menengahi orang lain!