CARI BAHAN

Sunday, September 29, 2019

Seloka Kasih Ayah

Aduhai anak belahan jiwa
dengarlah nasihat seorang ayah
di kala engkau masih kecil
kau disayang separuh mati

Dibelai kasih setiap masa
tiadalah dibenarkan bahaya bertandang
ayah membela dengan kasih sayang
sehingga kini kau dewasa sempurna

sungguhlah besar kasihnya ayah
segala kemahuanmu ayah tunaikan
tangismu menyemai gundah
tawamu membawa rasa bahagia

janganlah lupa penat dan lelah
ayah membelamu di kala kecil
mengajarmu erti hidup dunia
sehingga menjadi orang berguna

Saturday, September 28, 2019

Pantun: Jangan membazir

TIKAR PUCUK TIKAR MENGKUANG
ALAS NIKAH RAJA MELAYU
IKAN BUSUK JANGAN DIBUANG
BUAT PERENCAH SI DAUN KAYU

Pantun 6 Kerat: Bila dapat orang baru

Sarat bermuat ikan cencaru
tidaklah gelama berumpan lagi
kail tersangkut di tepi batang
sudah dapat orang baru
yang lama tidak berkenan lagi
ibarat melukut di tepi gantang

Monday, September 16, 2019

Muwafakat Nasional

Berdekad berlalu
sama-sama melayu sengketa menjadi tepu
kerana politik yang rancu
digamit kuasa palsu

Ketika Melayu berpadu
membuang dendam berdedalu
di pohon bangsa yang satu
katakanlah yang kamu setuju
demi membina masa depan baru.

Mereka yang berpolitik
jangan biarkan akal terus putik
tidak masak-masak ke hujung detik.

Politik itu sayembara pintar
silat pencak siapa lebih  lancar
dialah yang dapat gelar
menjadi juara tuan diyar.

Tiada yang selamanya benar
kerana benar itu berputar
dari satu gelegar ke gelegar

Sunday, September 15, 2019

Sajak Kemerdekaan: Khianat Para Bedebah.

Melaka jatuh
Kerana khianat si Kitol

Banyak riwayat sejarah
menceritakan kisah-kisah kerajaan yang rebah
kerana angkara para bedebah
malam menjelma jadi rubah
sedang siang berpura sebagai merbah

Matinya para para pahlawan
para pejuang sepanjang zaman
kerana ada duri yang ditanam
dalam urat  perjuangan
dari cucu cicit bedebah yang bergentayangan

Sajak Kemerdekaan: Malaysia Negara Bertuah

Betapa bertuahnya negara ini
Negara Malaysia tanah pertiwi
Negara pusaka leluhur kami
Negara Anugerah ilahi Rabbi.

Buminya subur dengan tanaman
Tanaman tumbuh di atas banjaran
Tumbuh sampai ke dalam laman
Hutan dan dusun bagaikan taman.

Buminya lembab dibasahi hujan
Tahi burung bertunas tumbuhan
Makan buah biji dibuangkan
Tumbuh menjadi pohon buahan.

Negara orang dilanggar bencana
Tanah runtuh bumi gempa
Gunung berapi sunami melanda
Negara ini aman sentosa.

Negara orang asyik berperang
Rakyat derita nyawa melayang
Harta benda dirampas orang
Negara ini damai tenang.

Negara orang gurun terbentang
Cuaca panas pagi ke petang

Negara orang ditutup salji
Cuaca sejuk berlaga gigi

negara orang  buminya kontang
Tiada simpanan galian didagang

Negara kita cuacanya saksama
Tiada panas hangat membara
Tiada sejuk bagai Tundra

Negera ini menyimpan galian
Aneka logam dilombong berzaman
Minyak pula muncul di lautan
Dilombong dijual tambah kekayaan
Flora fauna tarik pelancongan
Terlalu banyak anugerah Tuhan
Buat negara kasih junjungan



Saturday, September 14, 2019

Sajak Kemerdekaan: Sumpah Gapura Merdeka

500 tahun negara kita dijajah
sejak empayar Melaka tersungkur rebah
negara kita dicatur bangsa Eropah
kekayaan negara terkuras dijarah
bangsa kita dihina jatuh maruah.

Kini kita bangsa Merdeka
tiada lagi dijajah terhina
kita memerintah mengatur negara
kita membangunkan negara tercinta

Terima kasih para leluhur
atas jasamu yang telah kau tabur
mewariskan kami negara makmur.

Kami generasi pewaris merdeka
sumpah kami sebagai gapura
warisan pertiwi kami jaga
kepada anak cucu sebagai pusaka

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!


SAJAK KEMERDEKAAN: 500 tahun negaraku dijajah

500 tahun negara kita dijajah
oleh bangsa bangsa Eropah
bangsa kita dipandang rendah
hilang harga diri dan juga maruah.

Ketika Melaka jatuh rebah
Itulah awal negara dijajah
Pertugis membina Kota Megah
A Fomosa kubu bersejarah !

Portugis kalah diganti Belanda
dengan Inggeris menyusun peta
Rantau kita di bahagi mereka
Belanda berkuasa di tanah Indonesia
di negara kita Inggeris berkuasa.

Penjajah Inggeris tamak harta
kekayaan negara dijarah mereka
buat membangun negara Mahkota
Hingga mereka maju dan kaya.
Bangsa mereka hidup berada
bangsa kita miskin derita

Ketika dunia meletus perang
datang Jepun  menjual temberang

datang mengaku sebagai abang
membantu adik bangkit berjuang
melawan Inggeris durjana petualang!

Jepun menang Inggeris pun cabut
Balik Eropah sebagai pengecut
Jepun berkuasa rakyat diugut
kehidupan rakyat makin dijerut
rakyat dipaksa jadi pak turut
jika tidak , daripada kepala leher terlucut.

Tahun 1945 Jepun kalah

Hiroshima dan Nagasaki hancur musnah
Jepun tinggalkan tanah yang dijajah

Komunis pula datang mencelah
keluar hutan menunjuk megah
kononnya merekalah penghalau penjajah.

Inggeris kembali mengaku tuan
Komunis takut, lari ke hutan,
angkat senjata timbulkan ketakutan
hidup rakyat tidak aman
banyaklah orang jadi korban

Inggeris mahu hapuskan Sultan
Orang Melayu membuat bantahan
warisan pertiwi zaman berzaman
tidak rela dijadikan taruhan
biar kekal disirna jangan


Leluhur kita menyusun perjuangan
menyambung juang pahlawan terkorban
lena bangsa mereka sedarkan
agar bangkit menuntut kemerdekaan.


Penjajah Ingeris tahu sempadan
bangsa sedar tak dapat diumpan
kehendak usah usah dilawan
akhirnya Merdeka terpaksa direlakan

31 Ogos 1957
Laungan Merdeka jadi kenyataan
Inilah Negara Pusaka warisan
Di pundak kita dipikul beban
membina sebuah negara Impian
negara maju diberkati Tuhan
kekal Merdeka sepanjang zaman.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!






Friday, September 13, 2019

Sajak Kemerdekaan:Tanah Pertiwiku Tercinta

Terima kasih buat leluhur
Yang telah berjuang tanpa gentar
Melepaskan tanah pertiwi ini
Dari cengkaman para penjajah.

Tanah pertiwi ini
Dengan kemerdekaannya
Adalah pusaka termahal
Buat kami warisi.

Sejak zaman bahari
Negeriku ini tiada tandingannya
Tanahnya subur menghijau
buminya kaya dengan galian
hidupan liar membiak di hutan
ternakan mengkayakan para gembala

Tanah pertiwiku ini
semoga kekal merdeka
selama-lamanya.


Thursday, September 12, 2019

Sajak Kemerdekaan: Mengutip Kerikil Berdarah

Di lorong  ini
yang bernama jalan perjuangan
mari dikutip kerikil berdarah
dicuci sehingga disusun jadi batu laman.

Sajak Merdeka: Para Berdebah Dalam Negara Bertuah

Di kala orang menabur padi
para berdebah melepaskan merpati

Di kala orang menanam jati 
para berdebah meracun kembali

Dikala orang menegakkan pertiwi
Para Berdebah jual  IC

Ces...para Berdebah!

Sajak Merdeka: Sedarlah wahai bangsaku

Ada pulau tengah lautan
orang bestari berkampung halaman
Usah ditinjau nasib lawan
nasib sendiri mari utamakan.

Mara ditambat kerbau sekandang
Mari dikarang syair petualang
Negerimu hebat di mata orang
dicemburu orang pagi dan petang

Apa dikejar merpati di laman
nanti jemu sendiri keletihan
Rajinlah belajar membaca tulisan
biar berilmu luas pandangan.

Merah bersemu wajah pengantin
diusik telatah mak andam kahwin
Bangsa berilmu akan memimpin
walau susah hidup miskin


Sajak Merdeka: Negaraku nan Indah

Negaraku tiada tandingan
seluruh dunia jika dicerakinkan
negaraku tetap jadi pilihan
tanah pertiwi dilindungi Tuhan.

Negaraku aman tiada peperangan
Tiada bencana  merenggut ketenangan
bumi subur banyak tumbuhan
hasil galian anherah Tuhan

Flora fauna khazanah alam
berbagai jenis beraneka ragam
Hutan belantara bukit berbalam
hidupan liar hidup berterusan

Dalam laut ada tumbuhan
di atas darat ada tanaman
tumbut rumput depan halaman
ternakan ditambat  di pinggir limbungan.



Sajak Merdeka: Mengisi erti Merdeka

Merdeka bukan sebuah hikayat purba
Untuk dicerita sementara lena
Merdeka adalah sebuah citra
orang-orang yang berjuang demi Nusa.

Kita anak-anak pasca merdeka
jangan hanya berselogan cuma
Laungan merdeka penuh membara
makna Merdeka biar terpasak dalam dada.

Nenek moyang yang berjuang
telah membuang penjajah petualang
Wariskan kita negara terbilang
Untuk dibina jadi cemerlang.

Di pundak kita terpikul amanah
negara ini kita junjung megah
jangan sampai tersungkur rebah
diinjak musuh para bedebah.

Selalu beringat pesanan keramat
Menuntut merdeka memang penat
Lebih penat berkali lipat
menjaga negara agar selamat

Generasi baru teguhkan semangat
tuntutlah ilmu yang bermanfaat
biar dapat menabur keringat
buat jasa kemakmuran ditingat.


Wednesday, September 04, 2019

MELENGUHNYA KERBAU DI PADANG

Melenguhnya kerbau di padang
tak habis-habis dia bersembang
melahirkan kesumat yang berdendang
dalam seketul hati yang kotang.

Dia berpolitik intai peluang
mana tumbuh pohon nan rendang
di situlah dia bergayut menumpang
menari menyanyi sambil bergendang.

Sewaktu orang merasa bengang
kerana celupar cicit pendatang
cuba mengatur bijaknya abang
dia bersembang  bercekak pinggang.

Zakir Naik silalah pulang

tiada perjuangan boleh dipandang
negara lain menolaknya datang
kenapa ke Malaysia dia bertandang?

Demikian bicara penuh jalang
oleh politikus tak terbilang
tiada jasanya boleh didendang
sekadar berbahasa dondang sayang!