CARI BAHAN

Sunday, September 20, 2015

Haiwan politik yang bercekcok

Mereka haiwan politik yang bercekcok tidak henti-henti. Aku Melihat sesuatu yang tidak kena dalam perjuangan yang disandarkan. Ada bercakap soal perjuangan rakyat. Ada pula bercakap soal perjuangan agama.  Debu-debu berterbangan. Jarak pandangan mataku menjadi sangat pendek. Di sebalik kabus debu itu, aku mendengar suara yang bermacam-macam. Ada suara makan lahap. Ada suara cengkerama ghairah. Ada suara-suara aneh yang aku tidak faham.

Aku ingin menyisih seketika. Aku tidak percaya dengan fatamorgana yang muncul di saat begini.  Syaitan boleh sahaja berserban wali. Sang bacul pula boleh sahaja bertanjak pendekar Melayu. Biarkan para haiwan politik itu berpencak. Aku meminggir ke tepi dan memerhati.

Thursday, September 17, 2015

KETIKA AKU BERFIKIR

Yang Berbeza Bukan Khianat.

Tidak patut untuk menamakan yang berkhilaf dengan kita sebagai pengkhianat. Kecuali jika yang berbeza itu membuat kerja-kerja memburukkan kita  dan merosakkan nama baik kita. Itu barulah namanya khianat. Namun, ia perlu dicermati dengan teliti tanpa sentimen. Apakah benar apa yang dibuat oleh yang yang berbeza dengan kita itu merupakan perbuatan tikam belakang atau hanya prasangka kita sahaja.

Manusia diliputi oleh penyakit hati. Tidak ada orang yang selamat dari debu-debu penyakit hati. Kerana hati berpenyakit, seseorang yang duduk diam di penjuru dinding pun boleh dianggap oleh orang hatinya berpenyakit sebagai musuh.

Wednesday, September 16, 2015

Pemimpin waqar

Pemimpin
biar bicaranya bijak
jangan dibiar emosi menggelegak.

Orang pijak gambar
katakan : "aku masih berdiri!".

Orang bakar gambar,
katakan: Aku masih hidup!".

Orang ludah gambar,
Katakan: "Aku masih bersih!".

Itulah pemimpin yang waqar
berdiri teguh tidak gegar.